Oleh Syaifulloh Yazid
Sebagai seorang sasterawan kenamaan, Ranggawarsita dalam menuliskan ideanya, di samping ditulis dalam bentuk sekar macapat (puisi), beliau juga banyak menyusun karya-karya yang berbentuk jarwa (prosa), seperti Paramayoga, Pustaka Raja, dan sebagainya. Karya-karyanya itu semua dalam bentuk aksara carik (tulisan tangan). Sebagai seorang pujangga istana maka kebanyakan karyanya dipersembahkan kepada raja.
Riwayat Hidup
Nama asal Raden Ranggawarsita adalah Bagus Burham. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, tarikh 15 Maret tahun 1802 M di Kampung Yasadipuran Surakarta, iaitu pada masa pemerintahan Paku Buwana IV, raja kerajaan Surakarta. Leluhur beliau merupakan para bangsawan dan pujangga terkenal. Dari nasab pihak ayah, beliau mewarisi darah kebangsawanan sekaligus kepujanggaan, iaitu Bagus Burham (Ranggawarsita III) bin Sudiradimeja (Ranggawarsita II) bin Yasadipura II (Ranggawarsita I) bin Tumenggung Padmanagara (Bupati Pekalongan) bin Pangeran Adipati Danupa bin Pangerang Serang bin Pangeran Wiramenggala III bin Pangeran Wiramenggala II bin Panembahan Raden (Adipati Pajang) bin Pangeran Benawa bin Adiwijaya (raja Pajang) bin Kebo Kenongo bin Andayaningrat + puteri Majapahit binti Brawijaya (raja Majapahit). Sedangkan ibunya, Nyai Ageng Pajangswara berasal dari desa Palar, kira-kira 11 km sebelah timur kota Klaten, Jawa Tengah. Dari nasab ibunya, Beliau juga mewarisi darah kepujanggaan, iaitu ibunya, Nyai Ageng Pajangswara binti Suradirja Gantang bin Ngabehi Suradirja I (Kyai Ageng Nayatruna) bin Kyai Ageng Nayamenggala bin Kyai Ageng Wanabaya bin Raden Tumenggung Wangsabaya bin Pangeran Tumenggung Sujanapura, Pujangga Pajang.
Sejak kecil Bagus Burham dipelihara oleh R.T. Sasteranegara (Yasadipura II) sesuai dengan anjuran datuk piutnya, R.T. Yasadipura I yang meramalkan bahawa beliau akan menjadi pujangga yang terakhir. Setelah berusia empat tahun, Bagus Burham diserahkan kepada Ki Tanujaya, seorang abdi kepercayaan R.T. Sasteranegara. Beliau diasuh oleh Ki Tanujaya selama delapan tahun, iaitu daripada usia empat tahun hingga dua belas tahun. Ketika masa mudanya, Bagus Burham suka mengembara mencari pengalaman sehingga beliau sampai menyeberang ke pulau Bali.
Pada tarikh 28 Oktober 1818, beliau diangkat menjadi pegawai kraton dengan jawatan Carik Kliwon (juru tulis) di Kadipaten Anom dengan gelar Rangga Pujangga Anom. Kemudian beliau diangkat menjadi Abdi Dalem Carik Kepatihan dan diberi sebutan Mas sebagai gelar keturunan bangsawan. Lalu beliau diangkat lagi menjadi Mantri Carik Kadipaten Anom dengan nama Mas Ngabehi Sarataka. Beberapa waktu setelah itu (+ berusia 20 tahun) beliau menikah dengan Raden Ajeng Gombak, puteri Bupati Kediri, iaitu Raden Adipati Cakraningrat.
Beberapa tahun kemudian, pangkatnya dinaikkan menjadi Abdi Dalem Panewu Sedasa dan gelar kebangsawanannya menjadi Raden. Sebab ketika itu terjadi perang Diponegoro, Bagus Burham menerima tugas untuk mempertahankan daerah Nusupan dan beliau boleh berjaya. Pada umur 30 tahun, beliau diangkat menjadi Panewu Carik Kadipaten Anom dengan nama Raden Ngabehi Ranggawarsita. Maka ketika itulah gelaran Bagus Burham sudah penuh sampai akhir hayatnya sehingga terkenal dengan nama Raden Ngabehi Ranggawarsita. Untuk membezakannya dengan gelaran datuknya, Ranggwarsita I dan ayahnya, Ranggawarsita II maka beliau dipanggil sebagai Ranggawarsita III. Sesudah datuknya, Yasadipura II meninggal dunia, Ranggawarsita dinobatkan sebagai pujangga istana Surakarta pada tahun 1845 oleh Paku Buwana VII.
Setelah istrinya, Raden Ajeng Gombak meninggal dunia, beliau menikah lagi dan sampai akhir hidupnya beliau didampingi oleh dua orang isterinya, Mas Ajeng Puja Dewata dan Mas Ajeng Maradewata. Ranggawarsita wafat pada tarikh 24 Disember tahun 1873 M dalam usia 71 tahun dan dimakamkan di Palar, Trucuk, Klaten, Jawa Tengah. Mengenai kewafatannya, ada dua pendapat. Pertama, Ranggawarsita meninggal secara alami. Dan pendapat kedua, beliau meninggal dibunuh oleh Paku Buwana IX dengan perintah daripada Belanda kerana dikhawatirkan akan menghasut rakyat untuk melawan Belanda dan menumbangkan tahta kerajaan. Beliau meninggalkan tiga orang puteri dan dua orang putera namun kelima-lima putera-puterinya itu tidak ada yang mewarisi darah sasterawannya.
Latar Belakang Pendidikan
Dengan latar belakang keturunan para tokoh pujangga, Bagus Burham semenjak kecilnya telah menyimpan bakat dalam kesusasteraan. Sehingga datuk piutnya, Yasadipura I telah meramalkannya akan menjadi seorang pujangga penutup. Pada dasarnya, memang datuknya tersebut yang mewarnai keperibadiannya dalam sastera, apatah lagi semenjak kecil, Bagus Burham telah diasuh oleh Yasadipura II. Pada usia empat tahun sampai berumur dua belas tahun, beliau diserahkan kepada Ki Tanujaya, seorang yang ramah, pandai bergaul, humor, dan banyak ilmunya.
Setelah selama delapan tahun diasuh oleh Ki Tanujaya, iaitu pada tahun 1813 M Bagus Burham berguru dan belajar mengaji kepada Kyai Imam Besari, di Pondok Pesantren Gebang Tinatar, Tegalsari, Ponorogo yang nantinya menjadi benih berdirinya Pondok Moden Darussalam Gontor, Ponorogo, Jawa Timur. Kyai Imam Besari adalah cucu Paku Buwana IV dan kawan seperguruan R.T. Sasteranagara yang juga ahli kebatinan yang masih keturunan priyayi dan kemungkinan mempuyai kepustakaan Islam Kejawen yang banyak. Pada mulanya, Bagus Burham tidak menunjukkan adanya kejayaan dalam belajar kerana malas. Melihat hal ini, Kyai Imam Besari menegur keras pengasuhnya, Ki Tanujaya yang selalu menuruti kemahuan Bagus Burham juga Ki Tanujaya suka menunjukkan ilmu sihirnya kepada murid-murid Kyai Imam Besari. Disebabkan hal inilah, Ki Tanujaya dan Bagus Burham pergi meninggalkan Pesantren.
Dikatakan, sepeninggal Bagus Burham, keadaan Tegalsari menjadi tidak aman, iaitu banyak terjadi pencurian dan terjadi paceklik. Setelah meminta petunjuk Allah dan mendapat ilham bahawa keadaan daerahnya akan kembali tenteram semula apabila Bagus Burham kembali ke Tegalsari. Oleh itulah Bagus Burham dipanggil kembali ke Pesantren oleh Kyai Imam Besari. Namun Bagus Burham tetap tidak merubah kebiasaan buruknya tersebut sehingga beliau dimarah lagi oleh Kyai Imam Besari sampai beliau insaf akan hakikat hidup dan kehidupan.
Maka semenjak itulah beliau belajar dengan rajin dan selalu taat kepada gurunya. Atas saran Ki Tanujaya untuk membekali diri dengan keutamaan spiritualitas, Bagus Burham sering melakukan puasa, khalwat, dan bertirakat (meninggalkan keduniaan) dengan pelbagai cara. Bahkan Kyai Imam Besari selain mengajarnya mengaji seperti murid-murid lainnya juga menyuruhnya menjalankan tapa brata (riyadah). Oleh itu kerana merasa malu setelah dimarahi oleh Kyai Imam Besari, Bagus Burham melakukan tapa brata, merendam diri dalam sungai Watu selama empat puluh malam. Setiap hari hanya makan pisang batu (klutuk) sebutir. Pada malam terakhir itulah, beliau dianggap telah mendapat wahyu kepujanggaan dengan makan ikan wader (bilis) yang tiba-tiba ada dalam periuk nasinya. Namun dikatakan dalam manuskrip Padmawarsita, bahawa wahyu pujanggaan dihubungkaitkan dengan makan ikan keli yang tiba-tiba ada dalam periuk nasinya ketika bermalam di rumah Ki Mukitab. Selepas itulah perubahan besar nampak pada diri Bagus Burham. Beliau menjadi anak pandai, dapat mengaji tanpa belajar dan lebih pandai daripada santri-santri lainnya. Bahkan diangkat menjadi badal (pengganti), iaitu wakil Kyai, seorang kepercayaan langsung dari Kyai yang kadang diperintahkan untuk menggantikan posisi Kyai ketika sedang berhalangan.
Setelah dianggap cukup, Bagus Burham pulang kembali ke Surakarta dan belajar lagi dengan datuknya, Yasadipura II (R.T. Satranegara) dalam pelbagai ilmu. Setelah dikhitan pada tarikh 21 Mei tahun 1815 M, Bagus Burham diserahkan kepada Panembahan Buminata untuk mempelajari ilmu jaya kawijayan (ilmu mencegah perbuatan jahat), kadigdayaan (kekebalan), dan kanuragan (kesaktian). Selain itu beliau suka mengembara ke pelbagai tempat untuk mencari pengalaman hidup dan menimba ilmu daripada beberapa guru yang kenamaan. Antaranya selain Yasadipura II, Kyai Imam Besari dan Buminata, juga Pangeran Wijil dari Kadilangu, Demak, Kyai Tunggulwulung di Ngadiluwih, Kediri, Ki Ajar Wirakantha di Ragajampi, Banyuwangi, dan Ki Ajar Sidalaku di Tabanan, Bali.
Ki Ajar Sidalaku banyak memberikan pengetahuan mengenai ramalan dan kemukjizatan, serta ilmu mengenai penglihatan batin (pengawasan rahsia), iaitu untuk mengetahui pelbagai hal yang belum terjadi. Dari Ki Ajar Sidalaku, Bagus Burham berhasil membawa catatan peringatan perjalanan serta kumpulan naskah-naskah Jawa Kuno (lama) yang tertulis di atas kertas kayu. Naskah-naskah tersebut antaranya naskah Ramadewa, Bimasuci, Bratayuda, Darmasarana, dan naskah Ajipamasa juga keprak-keprak kuno. Beliau juga menekuni kesusasteraan Jawa dan ilmu kejawen dengan bimbingan Yasadipura II dan mempelajari sendiri.
Beliau juga bergaul dengan beberapa pegawai Belanda, antaranya J.F.C. Gericke, C.F. Winter, dan Dr. Falmer Van Den Broug. Bahkan mereka menganggap Ranggawarsita sebagai guru mereka. Daripada pergaulan inilah, Ranggawarsita banyak juga mendapat pengetahuan yang luas tentang kesusasteraan Barat. Bahkan beliau pernah ditawari untuk menjadi guru bahasa Jawa di Belanda dengan gaji f 1.000 dan hak pencen f 500 sebulan namun beliau menolaknya dan lebih memilih mengabdi kepada kerajaan Surakarta.
Dengan demikian, kepakaran Ranggawarsita dalam pelbagai ilmu, terutama dalam sastera memang didokong beberapa faktor penting. Selain faktor keturunan, juga adanya beberapa guru ternama, usaha yang keras, dan persekitaran dan keluarga yang kondusif.
Karya-Karya Peninggalan
Selain pakar dalam pelbagai bidang keilmuan, Bagus Burhan atau yang lebih dikenal dengan nama Ranggawarsita sangat produktif dalam menuangkan idea-ideanya, terutama yang berhubungkait dengan kesusasteraan. Sebab kepakaran dan banyaknya buah karya yang dihasilkan tersebut, Ranggawarsita sangat pantas dijuluki sebagai seorang pujangga besar, bahkan sebagai penutup para pujangga kerana memang hasil karya-karyanya masih original bersifat kejawen dan bersumber daripada budaya Jawa dan tidak terpengaruhi dengan budaya Barat. Ranggawarsita hidup di penghujung abad lama, kerana masa sesudahnya boleh dipandang sebagai zaman baharu kerana kontak langsung antara kebudayaan Jawa dengan kebudayaan Barat mulai terjadi dengan terbangunnya sekolah-sekolah model Barat oleh pemerintah Belanda.
Selama hidupnya, Ranggawarsita telah berkarya selama 47 tahun, dari tahun 1826 M sampai 1873 M. Beliau telah menghasilkan karya tidak kurang daripada 60 judul buku yang meliputi pelbagai hal. Antara lain: dongeng, cerita, lakon wayang, babad salasilah, sastera, bahasa, kesusilaan, adat-istiadat, kebatinan, ilmu kasampurnan, falsafah, primbon, dan sampai ramalan. Sebenarnya buku-buku hasil karya Ranggawarsita banyak sekali, namun buku-buku yang sudah diterbitkan belum seberapa jumlahnya. Semua karyanya sangat berkualiti dan indah kerana sememangnya beliau seorang ahli sastera. Jadi sebenarnya masih banyak lagi hasil-hasil karyanya yang belum diterbitkan. Juga karyanya banyak tersebar di tangan para pecinta kepustakaan Jawa sehingga susah untuk menghitung jumlahnya. Apatah lagi banyak karya lama yang digubah atau ditulis kembali oleh Ranggawarsita. Maka tidak salah jika dikatakan bahawa hasil karya Ranggawarsita berjumlah puluhan karya. Apatah lagi mengingat tugas utamanya adalah menjadi sasterawan istana yang memang memfokuskan diri untuk mengarang dan menyusun pelbagai idea sastera dan keilmuan lainnya. Sehingga tidak menutup kemungkinan karyanya melebihi jumlah yang selama ini diperkirakan.
Sebagai seorang sasterawan kenamaan, Ranggawarsita dalam menuliskan ideanya, di samping ditulis dalam bentuk sekar macapat (puisi), beliau juga banyak menyusun karya-karya yang berbentuk jarwa (prosa), seperti Paramayoga, Pustaka Raja, dan sebagainya. Karya-karyanya itu semua dalam bentuk aksara carik (tulisan tangan). Sebagai seorang pujangga istana maka kebanyakan karyanya dipersembahkan kepada raja.
Antara beberapa karyanya yang paling terkenal hingga sekarang adalah
1. Pustaka Purwa, yang memuat cerita sajak para dewa hingga lakon-lakon wayang seperti yang asas-asasnya dalam Mahabarata.
2. Kalatidha, yang terkenal dengan gambaran zaman edan (gila).
3. Jaka Lodhang, yang berisi ramalan akan datangnya zaman baik (kemerdekaan Indonesia).
4. Sabdatama, yang berisi ramalan tentang sifat zaman makmur dan tingkah laku manusia yang loba dan tamak.
5. Sabdajati, yang berisi ramalan zaman hingga Sang Pujangga meminta diri untuk memenuhi panggilan Tuhan (meninggal dunia). Kitab ini dipercayai sebagai karangannya yang terakhir.
6. Cemporet, cerita roman sejarah yang bahasanya amat indah.
7. Hidayat Jati, yang berisi ulasan ilmu kasampurnan.
8. Suluk Jiwa, yang berisi ceritera simbolik yang meriwayatkan bahawa Wisnu menyerupakan diri sebagai seorang tokoh bernama Sulaiman yang berangkat ke Turki untuk mempelajari tasawuf di bawah bimbingan Syaikh Usman al-Naji. Cerita simbolik itu kemudian sampai pada pembicaraan tentang penciptaan.
9. Serat Pamoring Kawula Gusti, yang menguraikan tentang zikir dan larut dalam kontemplasi serta perenungan kepada Allah Swt. dengan penuh rindu. Juga berisi tentang pembahagian darjat manusia ke dalam kumpulan awam dan khawas serta tentang tujuh martabat manusia: jasad, akal, jiwa, ruh, sirr, nur, dan urip (kehidupan).
10. Suluk Lukma Lelana, yang berupa risalah dalam tasawuf yang memuat motivasi untuk membentuk budi pekerti luhur. Terdapat juga huraian mengenai pengorbanan cAli Zayn al-cAbidin bin Husayn serta berisi mengenai keutamaan latihan-latihan spiritual dan pembersihan jiwa.
11. Paramayoga, sebuah risalah yang berupaya menyesuaikan antara legenda Tuhan-tuhan dalam Hinduisme dengan Nabi-nabi dalam Islam. Juga berbicara tentang martabat tujuh dan ditutup dengan faham Jabbariyah.
12. Suluk Supanala, yang menghuraikan tentang zikir, pembahagian kumpulan manusia, awam dan khawas, dan pencapaian kesatuan manusia dengan Tuhan.
Buku yang pertama kali ditulis oleh Ranggawarsita ialah Jayengbaya (menang atas bahaya), yang pada masa itu beliau masih bernama M. Ng. Sarata. Buku ini melukiskan khayalan Jayengbaya menjadi pemukul gamelan, pengiring tandak, penari, petani, pedagang, juru tulis, jaksa, pengemis sampai orang disambar geledek, bahkan menjadi Tuhan Yang Maha Esa. Seluruhnya berbentuk tembang Asmaradana yang berjumlah 250 bait. Sedangkan buku karangannya yang terakhir adalah Sabdajati yang ditulis delapan hari sebelum kewafatannya. Bukunya ini berisi ramalan tentang kewafatannya sendiri secara detil, iaitu beliau akan meninggal delapan hari lagi pada amarengi Sri Budha Pon, tanggal kaping lima antarane luhur, Selaning tahun Jikamkir, yakni pada hari Rabu, tarikh 5 di saat Zuhur, bulan Zulkaedah tahunnya 1802 yang bertepatan dengan tarikh 24 Disember 1873 M.
Adapun mengenai ciri-ciri khas daripada karangan Ranggawarsita adalah:
1. Purwakanti, yang akhiran kata atau kalimat yang bersambung dengan awalan kata atau kalimat berikutnya mempunyai persamaan bunyi atau aksaranya, persamaan erti kata, dan persamaan akar kata atau dua kata dasar yang berubah suaranya (seperti plesetan mijil menjadi mijile).
2. Sandiasma, iaitu nama pengarang yang disamarkan atau dirahsiakan dalam pelbagai sisipan dalam kalimat atau gatra (bait).
3. Candra Sengkala, yakni angka tahun yang dijelmakan dalam kalimat-kalimat yang sesuai dengan persoalan-persoalan atau masalah dan tujuan yang sedang dihadapi atau sedang menjadi tema daripada karangannya.
4. Gancaran atau Jarwa, iaitu sebuah prosa berirama yang susunannya sangat indah, bergairah, dan mengasyikkan nuansa puitiknya.
5. Menjalin nasehat yang berkualiti.
Dengan pelbagai ciri-ciri khas inilah karya Ranggawarsita dinilai mempunyai kualiti yang tinggi dan indah juga membezakan karya-karyanya terhadap karya-karya lainnya.
Sumber : http://www.tuanmudakhasan.com
Oleh Syaifulloh Yazid
0 comments:
Posting Komentar