Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa
di bumi mulai tertib dan sempurna tatkala Hawa bersedia untuk
melahirkan anak-anaknya yang akan menjadi benih pertama bagi umat
manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang.
Pertama lahirlah pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama
“Iqlima”, kemudian menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik
perempuannya yang diberi nama “Lubuda”.
Kedua orang tua, Nabi Adam dan Siti
Hawa, menerima kelahiran keempat putera puterinya itu dengan senang dan
gembira, walaupun Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh
setiap ibu yang melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat
anak pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak
untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang telah
di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh
cinta dan kasih sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu dengan
cepatnya melalui masa kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang
perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus
rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita,sedang yang
laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi
keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan
Habil di bidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan
Hawa berjalan tertib sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta
mencintai hormat menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam
kedudukan yang wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si
isteri terhadap suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di
antara keempat bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling
bantu membantu hormat menghormati dan bergotong-royong.
Keempat Anak Adam Memasuki Alam Remaja.
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia
remaja dan memasuki alam akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat
serta hajat kepada hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak
pada gaya dan sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya
dengan cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu agar
terjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas
di antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan
petunjuk agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil
dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik
Qabil yang bernama Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah
s.w.t. kepada Nabi Adam telah disampaikan kepada kedua puteranya sebagai
keputusan si ayah yang harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk
menjaga dan mengekalkan suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga
dan rumahtangga mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka
rancangan yang diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan
menyatakan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan
mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik
adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut
mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali
tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang
demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah
dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan dan
permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa
dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak
mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan
adik kembarnya sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari
penggunaan kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di
antara saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga
beliau secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan
itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing-
masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan dengan
catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu diterima
korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan
penyelesaian yang ditawarkan oleh ayahnya. Habil keluar dan kembali
membawa peliharaannya sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang
dipilih dari hasil cucuk tanamnya yang rosak dan busuk kemudian
diletakkan kedua korban itu kambing Habil dan gandum Qabil di atas
sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan
terjadi atas dua jenis korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh
anggota keluarga Adam yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan
terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api
besar yang turun dari langit menyambar kambing binatang korban Habil
yang seketika itu musnah ternakan oleh api sedang karung gandum
kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal
utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil
sebagai pemenang dalam pertaruhan itu karena korban kambing telah
diterima oleh Allah sehingga dialah yang mendapat keutamaan untuk
memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan
dipersandingkan menjadi isterinya.
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia.
Dengan telah jalurnya keputusan dari
langit yang menerima korban Habil dan menolak korban Qabil maka pudarlah
harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan
itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya
dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang
akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan
meninggalkan rumah beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada
Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan
saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan
keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai
terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan
kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya
dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat
ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat
segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah
kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia
berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan
niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil
saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan
keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya.
Berkata ia kepada Habil:”Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya
telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini.”
“Apa salahku?”tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?”
Qabil berkata:”Ialah kerana korbanmu
diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa
engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku
harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik
itu.”
Habil berkata:”Adakah berdosa aku bahawa
Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah
bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah
kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan
hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-
masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya
menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan
tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah mungkin
sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari
gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa
bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah,
berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja
aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku
serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh
Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku
ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh
Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari
syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak
membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana
aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak
diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan
ditakdirkan bagi diriku.”
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu
didengar oleh Qabil namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan
sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki,
dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai,
cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Qabil yang
dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh
kebelakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan
terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengkin didalam dadanya
mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala
dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil
saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul
kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu
diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan
jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan
sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia
Penguburan Jenazah Habil.
Qabil merasa gelisah dan bingung
menghadapi mayat saudaranya.ia tidak tahu apa yang harus diperbuat
dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk
itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya
mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung
sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk
itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak
berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh
Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya
itu.Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela
melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia
demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor
burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan
gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah
digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan
pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil
sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:”Alangkah bodohnya aku,
tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti
caranya menguburkan mayat saudaraku ini?”
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan
jauhnya.Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang
berkumpul.Bertanyalah ia kepada Qabil:”Di manakah Habil berada?Aku tidak
melihatnya sejak aku pulang.”
Qabil menjawab:”Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi.”
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan
yang kasar dari Qabil, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke
atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap
kedua orang tuanya itu.Pada akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati
dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya.Ia sangat sesal di atas
perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa persaudaraan,
ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi
hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya
berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya
seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan
kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.
Kisah Qabil dan Habil Dalam Al-Quran.
Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah”Al- Maaidah” ayat 27 sehingga ayat 32 .
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam A.S..
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang
menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas,
tidak dicampuri dengan sifat riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang
atau binatang yang dikorbankan harus yang masih baik dan sempurna dan
dikeluarkannya dari harta dan penghasilan yang halal.Jika korban itu
berupa binatang sembelihan, harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit
atau pun cacat, dan jika berupa bahan makanan harus yang masih segar
baik dan belum rusak atau busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia
yang terbaik adalah dengan cara penguburan sebagaimana telah diajarkan
oleh Allah kepada Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat
manusia sebagai makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah
di atas makhluk-makhluk lainnya, menurut firman Allah dalam surah
“Al-Isra” ayat 70 yang bererti ; “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan
anak-anak Adam.Kami angkut mereka di daratan dan di lautan.Kami beri
mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan
kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami
ciptakan.”
0 comments:
Posting Komentar